Jawi pikul amanah kebumi jenazah tidak dikenali, waris enggan tuntut
KUALA LUMPUR: Penagih dadah, penghidap Aids dan mereka yang terbabit dengan kes bunuh antara lebih 120 jenazah tidak dikenali atau enggan dituntut waris sehingga terpaksa diuruskan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) setiap tahun.
Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jawi, Imlah Abdul Aziz, berkata pihaknya mengendalikan 146 jenazah golongan itu pada 2005, manakala 120 lagi pada tahun lalu.
“Selain menguruskan mayat tiada identiti serta tidak dituntut, kami juga mengendalikan mayat penghidap Aids, penagih dadah dan mereka yang terbabit dengan kes pembunuhan.
“Kami juga bertanggungjawab menguruskan mayat apabila waris enggan mengendalikan pengebumian selepas dihubungi pihak hospital.
“Mereka (ahli keluarga) tak mahu menuntut mayat itu kerana tak mampu menguruskannya atau waris tinggal berjauhan seperti di kawasan utara Semenanjung atau Pantai Timur,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Menurutnya, jenazah yang tidak dikenali identiti dimandi serta dikafankan sebelum dikebumikan di dua lokasi iaitu di Tanah Perkuburan Islam Taman Selasih, Gombak dan Bukit Kiara, Damansara.
Di kubur itu, kata Imlah, makam ditanda dengan batu konkrit empat segi yang mempunyai nombor bagi rujukan Jawi.
Jenazah tidak dikenali identiti atau enggan dituntut waris itu diserahkan Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Putrajaya.
Hampir 80 peratus jenazah sedemikian datang dari HKL, manakala selebihnya dari tiga hospital berkenaan.
Menurut Imlah, beberapa prosedur dilakukan bagi membuat pengesahan sama ada mayat tidak dikenali identiti itu beragama Islam atau sebaliknya, termasuk melakukan pemeriksaan di bahagian kemaluan.
“Jika mayat yang mempunyai tanda keagamaan seperti memakai salib atau memiliki tatu, kami akan menyerahkan kepada pihak hospital untuk menguruskannya,” katanya.
Jawi, kata beliau, membelanjakan kira-kira RM200 untuk membeli set pengurusan jenazah dan kos menggali kubur bagi dewasa, manakala kanak-kanak sejumlah RM150.
Sementara itu, tokoh agama, Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz, berkata jabatan agama dipertanggungjawab berijtihad mencari ikhtiar mengenal pasti identiti mayat sebelum tindakan susulan dilakukan.
Menurutnya, Jawi juga perlu berusaha mencari waris atau rakan terdekat bagi mengenal pasti mayat sebelum dikebumikan.
“Sekiranya gagal mengesan waris, kita boleh meneliti mayat itu melalui rupa paras dan keturunannya.
“Apabila dikenal pasti keturunan Melayu, jenazah dikebumikan secara Islam dan begitulah juga sebaliknya,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata, mayat rentung atau tidak cukup sifat sehingga gagal dikesan identitinya, perlu dikebumikan secara Islam sebagaimana ditetapkan fatwa dikuatkuasakan di negara ini.